PENANAMAN DURIAN

DURIAN

Di Malaysia, buah durian dibiarkan luruh sendiri setelah masak dan dipungut setiap hari. Pada awal dan penghujung musim, buah dipungut sekali sehari (pada awal pagi) kerana bilangan buah yang luruh adalah sedikit. Pada pertengahan musim, buah perlu dipungut dua kali sehari (pagi dan petang) kerana bilangan buah yang luruh memuncak. Di Thailand, buah durian dipetik daripada pokok pada peringkat matang dan buah kemudian diperam hingga masak. Penuaian dengan cara ini membolehkan buah disimpan lebih lama dan dihantar ke pasaran yang lebih jauh. Adalah dijangkakan pada masa akan datang, cara penuaian seperti ini akan menjadi amalan biasa di Malaysia.

KEPERLUAN ASAS TANAMAN

Iklim

Ia memerlukan persekitaran yang panas dan lembap sama seperti yang terdapat di hutan tropika bagi membantu pertumbuhan vegetif. Tanaman durian hidup dengan subur di kawasan-kawasan di mana suhunya diantara 27-32oC, mendapat hujan diantara 1,800-4,000 mm setahun, mengalami musim kemarau antara 1-3 bulan, mempunyai peredaran udara dan angin yang baik serta mendapat cahaya matahari sepanjang tahun.

Kelembapan tanah yang diperlukan adalah lebih kurang 80%. Dalam keadaan kelembapan tanah yang tinggi, pokok-pokok durian berupaya menghasilkan pucuk-pucuk baru sekali setiap bulan, berbeza dengan pokok buah-buahan yang lain. Lebih kurang 90% dari tunas hujung baru berupaya menghasilkan daun baru. Pada peringkat pertumbuhan vegetatif, anak pokok durian sangat peka kepada keadaan kemarau. Pengairan diperlukan untuk mengelakkan kematian. Ini adalah kerana sistem akarnya yang sangat cetek dan mudah ketandusan air.

Apabila mencapai peringkat matang pokok durian memerlukan satu jangkamasa musim kering diantara 1-3 bulan untuk mempengaruhi proses pembungaan dan pembuahan tersebut. Masa yang kritikal bagi perkembangan buah ialah kira-kira 4 minggu selepas bunga kembang. Ini disebabkan pada waktu tersebut, kadar pertumbuhan dan pembesaran buah adalah tinggi. Oleh itu air yang berlebihan menyebabkan pokok menghasilkan pucuk baru. Keadaan ini menyebabkan wujudnya persaingan untuk mendapatkan bahan makanan antara buah muda dengan daun baru yang boleh menyebabkan buah gugur.


Faktor Tanah


Durian memerlukan tanah yang dalam, subur dan gembur kerana tanah-tanah tersebut mempunyai pengudaraan dan struktur yang baik untuk pertumbuhan akar. Tanah jenis lom hingga lom berpasir adalah paling sesuai. Tanah jenis lom lempung (clay loam) juga sesuai bagi tanaman durian tetapi memerlukan perparitan yang sempurna kerana durian tidak tahan dalam keadaan air bertakung. Tanah jenis lom dan lom berpasir banyak terdapat di lereng-lereng bukit. Walaupun tanah-tanah lom berpasir adalah sesuai untuk tanaman durian, tetapi ia tidak tahan dengan musim kemarau yang terlalu panjang. Penanaman durian di kawasan yang mengalami kemarau panjang, seperti di Utara Semenanjung, memerlukan sistem pengairan bagi menggalakkan pengeluaran hasil yang baik.

Contoh tanah yang dianggap sesuai bagi tanaman durian ialah:-

(a) Tanah yang berasal dari batu igneus seperti tanah siri Rengam dan Jerangau.
(b) Tanah lom liat berpasir yang berasal dari batu sedimentari (lihat siri-siri tanah Semenanjung Malaysia).
(c) Tanah lanar laut yang mengandungi kandungan liat yang tinggi, asalkan paras air dalam tanah tidak
terlalutinggi. Sebagai contoh: Siri Kangkong dan Siri Selangor di Semenanjung Malaysia. Tanah-tanah
bermasaalah seperti tanah bris, tanah pasir lombong, tanah asid sulfat, tanah masin, tanah gambut dan
tanah bertakung air adalah tidak sesuai.

Tanah-tanah yang berkecerunan 0-12o adalah sesuai untuk penanaman durian. Walau bagaimanapun, ia masih boleh ditanam di kawasan yang berkecerunan 12-20o jika langkah-langkah pemuliharaan tanah dibuat.


KLON-KLON YANG DISYORKAN

D 24
Klon ini berasal dari Bukit Merah, Perak dan telah didaftarkan pada 30 November 1937. Pokok cergas membesar, rendang dan rajin berbuah. Hasil purata pada peringkat awal (umur 6-9 tahun) ialah 10 biji sepokok setahun. Hasil akan meningkat ke 65 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas. Bentuk buahnya bulat membujur, bersaiz sederhana besar dengan berat diantara 1.0 - 1.8 kg sebiji buah durian. Pangsa mempunyai 1-3 ulas yang berwarna kuning pucat dan bersusun sebaris. Isi manis, pejal, bertekstrur halus dan sedikit pahit. Peratus isi ialah 26%. Pokok memerlukan tanah yang subur dan tidak tahan kemarau tanpa pengairan yang cukup. Tempoh matang buah ialah 105-110 hari selepas bunga kembang. Bijinya besar dan kebanyakannya merekah.


D 99
Durian ini dipanggil Kop Kecil, berasal dari Thailand dan didaftarkan pada 17 Jun 1970. Pokok lasak tetapi lambat membesar.Pokok agak kecil tetapi rajin berbuah. Pada peringkat awal (pokok berumur 6-9 tahun) hasil ialah 7 biji sepokok setahun. Hasil akan meningkat ke 45 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas. Di pokok, buahnya didapati dalam keadaan berjambak. Saiz buah sederhana dengan berat diantara 1-2 kg. sebuah. Buah durian D 99 berbentuk bulat tetapi dempak di bahagian pangkal dan hujung buah. Kulitnya nipis berwarna hijau hingga hijau perang. Durinya kecil, pendek dan tajam. Buah boleh dikopek dengan mudah. Bilangan ulas boleh mencapai sehingga 25 ulas bagi sebiji durian. Isinya sederhana tebal, berwarna kuning terang dan tekstur isinya halus. Pokok tahan terhadap kanker batang dan persekitaran kering. Rasanya lemak manis. Kebanyakan biji durian jenis ini adalah leper atau kesep. Tempoh matang ialah 90-100 hari selepas bunga kembang.


D 123
Klon yang berasal dari Thailand ini dipanggil 'Chanee' dan didaftarkan pada 24 Julai 1971 serta sesuai ditanam di sebelah utama Semenanjung Malaysia. Pokok sederhana besar dan tahan kepada keadaan kering. Hasil purata sepokok (berumur 10 tahun) ialah 30-40 biji sethaun. Buah besar, berat 2.5 kg. sebiji dan berbentuk bujur.. Permukaan kulit buah berlekuk dan berwarna hijau kekuningan. Isinya tebal, berwarna kuning keemasan, beraroma atau berbau kuat; rasa lemak dan manis dan tekstur isi yang sederhana halus. Peratus isi 30-40%. Tempoh matang buah ialah 105-120 hari selepas bunga kembang.


D 145
Klon durian D 145 berasal dari Beserah, Kuantan, Pahang dan didaftarkan pada 30 Oktober 1981. Durian ini juga digelar Durian Beserah, Tuan Mek atau Durian Hijau. Pokok sederhana besar dan sederhana cergas. Hasil purata sepokok (berumur 10 tahun) ialah 50 buah setahun. Buah berbentuk bulat, purata berat 1.4 kg. sebiji dan di bahagian hujung buah terdapat bentuk seperti puting. Durinya rapat dan panjang dan kulit berwarna hijau bila cukup matang. Isinya berwarna kuning keemasan, bertekstur halus dan rasa lemak manis. Peratus isi buah ialah 25%. Tempoh matang buah adalah 105-115 hari selepas bunga berkembang.


D 158
Durian ini berasal dari Thailand. Nama popularnya 'Kan You' atau Tangkai Panjang dan telah didaftarkan pada 30 Jun 1987. Pokok sederhana besar dan tahan kepada keadaan kering. Saiz buah durian ini adalah sederhana besar dengan purata berat diantara 2-4 kg. sebuah. Warna kulitnya hijau perang, tangkai buah panjang (15-17 cm). Buah berbentuk bulat bujur, kulit buah berwarna hijau perang dan durinya pendek. Saiz ulasnya besar. Isi tebal, ulas besar dan berwarna kuning keemasan, pejal sedikit bersabut dan rasanya manis. Klon ini kurang beraroma jika dibandingkan dengan klon D 123. Peratus isi buah ialah 32%. Tempoh matang buah antara 130-140 hari selepas bunga berkembang.


D 159
Dikenali sebagai 'Mon Thong' atau Bantal Mas. Berasal dari Thailand dan popular di kawasan utara Semenanjung Malaysia dan telah didaftarkan pada 30 Jun 1987. Pokok sederhana besar, senang hidup apabila ditanam dan tahan kepada keadaan kering. Hasil purata sepokok (beruumur 10 tahun) ialah 60-100 biji semusim dan purata berat buah diantara 3.0-5.0 kg. Buah berbentuk bujur panjang dan bergelugur. Bahagian hujung buah tajam dan membengkok sedikit. Duri berwarna perang dan kasar. Ulasnya besar, isi tebal, berwarna kuning emas, rasa yang manis, tekstur isinya halus dan berkrim dan kurang beraroma. Peratus isi buah ialah 30-35%. Tempoh matang buah diantara 130-140 hari selepas bunga kembang.


D 169
Berasal dari Kelantan dan didaftarkan pada tahun 1989. Klon ini juga dikenali sebagai 'Tok Li Tok'. Pokok sederhana besar dan pertumbuhannya cergas. Hasil purata sepokok ialah 40-50 biji setahun (berumur 10 tahun). Berat buah 1.2-1.8 kg. sebiji. Bentuk buah bujur panjang, kulit buah berwarna hijau kekuningan, nipis, mempunyai duri yang agak kasar dan tajam. Isinya tebal, berwarna kuning, sedikit bersabut dan lembut. Rasanya lemak manis dan pahit sedikit. Peratus isi ialah 25%. Tempoh matang buah ialah 100-110 hari selepas bunga kembang.


MDUR 78
Hasil dari kacukan D10 dan D24. Pokok cergas membesar dan rintang terhadap penyakit kanker. Berat buah 1-1.8 kg. sebiji. Kulit sederhana tebal. Berwarna hijau muda kekuningan dan berbentuk bulat membujur. Isi tebal, ulas besar, warna ulas kuning dan bertekstur halus. Rasa isi lemak, manis dan beraroma.


DUR 79
Hasil dari kacukan D24 dan D10. Pokok sederhana besar dan rintang kepada penyakit kanker. Rajin berbuah, buah berbentuk bulat membujur dan berat 1.0-1.6 kg. sebiji. Warna kulit hijau. Isi berwarna kuning jingga, ulas besar dan bertekstur halus. Rasa isi manis dan lemak.


MDUR 88
Klon hibrid, hasil kacukan antara D24 dan D10. Buah berbentuk bulat bujur. Saiz buah sederhana besar antara 1.5-2.0 kg. Isi sangat tebal dan berwarna kuning emas. Tekstur isi pejal, sederhana halus dan rasanya lemak manis. Hasil purata ialah 55-65 biji/pokok/musim.


SISTEM CAMPURAN DAN KOMBINASI KLON-KLIN DURIAN

Pada amnya, adalah disyorkan bahawa 3-5 klon ditanam bagi sesuatu dusun durian komersil untuk pendebungaan dan pasaran. Bagi sesuatu kawasan klon-klon yang disyorkan adalah terdiri daripada 3 kategori seperti berikut:-

Klon Utama
Klon-klon Subsidiary
Klon-klon Tempatan

Klon Utama
Bagi sesuatu dusun komersil, perlu ada klon utama yang terdiri daripada 50-70% daripada jumlah pokok yang ditanam. Dalam keadaan tertentu dua klon utama boleh ditanam.

Klon-Klon Subsidiary
Selain daripada klon utama, 2-4 klon subsidiary perlu ditanam untuk tujuan pendebungaan dan juga untuk pasaran. Klon-klon ini terdiri dari senarai klon-klon durian yang disyorkan.

Klon-klon Tempatan
Klon-klon tempatan merupakan klon-klon yang banyak terdapat dan terbukti berprestasi baik di sesuatu kawasan setempat. Pemilihan klon-klon ini adalah bebas dan terpulang kepada kehendak pekebun. Biasanya pekebun boleh menanam 5-20% klon-klon tempatan. Penanaman klon-klon durian mengikut kesesuaian tempat adalah seperti berikut:-

Jenis Klon Kawasan Utama Yang Sesuai
D 24 (Bukit Merah)
D 99 (Kop Kecil)
D 123 (Chanee)
D 190 (MDUR 88)
D 188 (MDUR 78)
D 145 (Beserah)
D 158 (Kan Yau)
D 159 (Mon Thong)
D 169 (Tok Litok)
D 189 (MDUR 79) Perak dan kawasan di mana kemaraunya pendek dan tidak nyata.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan.
Pahang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Perlis, Kedah, P. Pinang dan kawasan kemarau yang agak panjang.
Kelantan.
Terengganu, Perak dan lain-lain kawasan.

PENANAMAN

Penyediaan Benih Tanaman

Penanaman durian pada masa ini menggunakan baka klon yang dibiakkan secara vegetatif. Teknik pembiakan benih bagi tanaman durian ialah dengan kaedah cantuman matatunas atau cantuman baji. Bahan pembiakan mestilah diperolehi dari sumber pokok induk yang disahkan ketulenannya. Anak benih mestilah sihat, subur, cergas, tidak berpenyakit dan dari klon yang tulen dan menepati standard yang ditetapkan. Spesifikasi standard minimum anak benih durian yang dibiak dengan menggunakan saiz polibeg berukuran 30 x 12 cm adalah seperti berikut:-

Faktor
Spesifikasi Standard Diperlukan

Ketinggian anak cantuman dari tapak cantuman (minimum)
Umur lepas cantuman (minimum)
Umur lepas cantuman (maksimum)
Bilangan daun sempurna
Saiz garis pusat batang pada paras 10 cm di atas tapak cantuman 30 cm
4 bulan
8 bulan
8 bulan
0.5 cm


Anak benih tanaman durian yang sihat, subur dan tuleh boleh diperolehi daripada pengeluar-pengeluar benih tanaman yang berwibawa. Bahan Tanaman Lanjut (Advanced Planting Material) merupakan benih durian cantuman yang tumbesarannya dijaga hingga ketinggian pokok melebihi 150 cm. Umur benih tanaman lanjut bagi durian dapat mengurangkan peratus kematian. Pertumbuhan pokok juga cepat dan tidak memerlukan perlindungan pada awal penanaman. Penyediaan benih tanaman lanjut bagi durian ini dibuat dengan menukar polibeg kecil kepada polibeg besar. Polibeg 30 cm x 45 cm biasa digunakan. Tanah campuran baru dimasukkan semasa penukaran polibeg. Pokok benih yang telah siap diubah perlu dijaga rapi dengan cukup pembajaan dan penyiraman di bawah sedikit lindungan. Benih tanaman lanjut durian perlu dibuat penyesuaian atau perlasakan (hardening) sebelum diubah ke ladang. Menanam durian klon D24 dengan menggunakan bahan tanaman lanjut didapati peratus kehidupannya adalah tinggi dan tumbesarannya lebih aktif.


Cantuman Ladang

Cantuman ladang ialah cantuman sion terpilih (klon) ke atas pokok penanti yang telah tersedia ditanam di ladang. Diantara kebaikan cantuman ladang ialah pokok-pokok penanti boleh ditanam terus dari peringkat awal percambahan atau dari anak biji benih. Gangguan kejutan mengubah benih pokok tidak timbul lagi dengan kaedah ini. Sejak awal lagi, pertumbuhan anak pokok penanti lebih subur dan tidak mudah mendiri. Setelah pokok-pokok penanti berumur lebih 4 bulan atau garis pusat batang pokok penanti mencapai 0.4-0.8 cm, cantuman sangat sesuai dilakukan pada paras ketinggian 30 cm dari paras tanah.

Kaedah cantuman ladang boleh dilakukan dengan cara cantuman matatunas atau cantuman baji sisi (selit) dengan keratan ranting muda. Setiap keratan muda mempunyai 2-4 matatunas. Pokok penanti di ladang yang subur dan cergas sahaja dipilih untuk dibuat cantuman. Sion atau matatunas klon terpilih dicantum ke atas pokok penanti. Kaedah cantuman adalah sama seperti membuat cantuman keatas pokok penanti di dalam polibeg di tapak semaian.

Pokok penanti perlukan bekalan air yang mencukupi selepas kerja cantuman ladang dilaksanakan. Cuaca yang tidak begitu kering dan hujan sekali sekala dalam seminggu adalah sesuai untuk menentukan kejayaan yang tinggi. Kemarau yang terlalu panjang melebihi dua minggu atau hujan terlalu lebat dan berpanjangan akan menurunkan peratus kejayaan. Selepas 3 minggu, balutan plastik cantuman boleh dibuka bagi cantuman matatunas, tetapi cantuman selit masih belum sesuai dibuka balutannya. Kejayaan cantuman dapat dinilai daripada warna dan keadaan sion yang masih hijau.

Selepas seminggu, matatunas mula becambah sepanjang 1 cm dan mengeluarkan pucuk hijau. Pokok penanti boleh dipotong 15 cm atas paras sion supaya menggalakkan pertumbuhan lebih aktif dan cepat. Pokok penanti yang pertumbuhan sion melebihi 10 cm atau melebihi 5 helai daun dipotong menghampiri paras cantuman sion-penanti. Sokongan kayu tegak perlu disediakan untuk pertumbuhan sion-penanti. Sebarang tunas selain dari sion yang dapat pada pokok penanti sentiasa perlu dibuang. Pengurusan pokok yang telah dicantum perlulah diteruskan dengan pembajaan, merumput, kawalan penyakit dan serangga dan penyiraman. Penyemburan foliar baja daun digalakkan supaya pertumbuhan pokok cepat dan aktif pada peringkat awal. Peratus kejayaan dengan menggunakan teknik cantuman ladang adalah tinggi.


Penyediaan Kawasan

Pokok-pokok, belukar dan semak samun perlulah dibersihkan. Parit saliran perlu dibina jika kawasan ladang itu agak rendah dan mendatar bagi mengelakkan air bertakung. Bagi kawasan yang berbukit-bukit yang mempunyai cerun melebihi 12o, teres atau platform perlu dibina sebagai satu langkah pemuliharaan tanah. Penanaman kekacang penutup bumi juga digalakkan untuk mengawal hakisan dan juga membekalkan unsur nitrogen kepada pokok-pokok durian. Kawasan ladang perlulah dibajak, sekurang-kurngnya satu pusingan bajak piring, diikuti oleh satu pusingan bajak putar, jika tanaman penutup bumi dicadangkan. Sebaik-baik pembajaan minimum atau tanpa pembajakan adalah digalakkan, jika penanaman penutup bumi tidak diperlukan.


Sistem Penanaman

Boleh ditanam dengan menggunakan 4 sistem iaitu sistem segi-empat tepat, sistem segiempat sama, sistem segitiga sama dan sistem sesiku keluang. Keutamaan sistem segitiga sama ialah (pada satu jarak yang sama) dapat memberikan bilangan pokok yang lebih, iaitu sebanyak 15% lebih jika dibandingkan dengan sistem segiempat sama. Sistem segiempat tepat dapat memberikan ruang diantara barisan untuk ditanam dengan tanaman lain sekiranya tanaman selingan atau campuran diamalkan. Manakala sistem sesiku keluang pula, melibatkan penanaman pokok pengisi di tengah-tengah sistem segi empat sama. Pokok pengisi bersifat sementara dan akan dibuang apabila kanopi mula bertaut. Sistem ini memberikan kepadatan pokok yang tinggi dan boleh memaksimumkan penggunaan tanah. (Sila lihat rajah sistem penanaman di sini) !

Dalam merancang penanaman durian, satu aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah tentang proses pendebungaan. Klon durian bersifat tidak serasi sendiri yang boleh mempengaruhi pembentukan buah durian. Oleh yang demikian, penanaman klon durian secara tunggal tidak digalakkan, sebaliknya penanaman pelbagai klon perlu dipratikkan. Langkah ini akan dapat mempertingkatkan proses pendebungaan, persenyawaan dan seterusnya hasil dan bentuk buah yang seragam.


Membuat Barisan dan Lubang Tanaman

Tumbesaran pokok durian lazimnya terjejas apabila kanopi pokok mula bertaut. Keadaan ini mengakibatkan permukaan tanah terlindung dan ia mewujudkan satu keadaan persekitaran yang lembap dan menggalakkan kejadian penyakit cerana batang. Jarak tanaman yang sesuai bagi durian mengikut jenis sistem penanaman yang diamalkan adalah seperti berikut:-